Blogger news

[x]

Thursday 14 August 2014

On 01:08 by Unknown in ,    No comments
[VIDEO]~NGERI...Budak Potong Ular Utk Makanan Eksotik Asia~
#honey mmg pengsan mcmni


Seorang petani di Taiping, Perak yang menjadi mangsa patukan ular senduk, sanggup berpatah balik ke rumahnya dari Hospital Taiping untuk mengambil bangkai haiwan itu bagi membolehkan doktor mengenal pasti vaksin sesuai.

Lelaki terbabit, Md Noor Mahat, 47, dipatuk anak ular senduk ketika bermain dengan anaknya di rumah mereka di Selinsing sebelum dibantu jiran yang kemudian membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan dalam kejadian Januari lalu.

Akibat patukan itu, Md Noor mula mengerang kesakitan dan berasa hampir
pengsan kerana bisa ular berkenaan meresap ke dalam badannya.




KANAK-kanak berusia empat tahun mangsa patukan ular di Temerloh.



Bagaimanapun, dia terpaksa menggagahkan diri mencapai penyapu yang kebetulan berada di sebelahnya dan terus membunuh haiwan itu kerana bimbang akan mematuk anaknya pula.

Kes yang berlaku terhadap Md Noor adalah contoh bisa gigitan ular. Ada lebih 140 spesies ular di negara ini, tetapi hanya 17 spesies yang beracun. Beberapa jenis ular beracun dan berbahaya ialah ular tedung juga dikenali sebagai Cobra dan King Cobra, ular kapak dan ular katam tebu.

Ular tedung biasanya dijumpai di kawasan ladang, paya, tanah lapang dan juga di kawasan perumahan kerana mudah bagi reptilia terbabit mencari mangsanya seperti tikus, manakala ular senduk King Cobra pula biasanya ditemui di hutan tebal.

Ular kapak pula mudah dijumpai di kebun getah, ladang, kampung dan hutan, manakala ular katam tebu biasanya ditemui di padang, hutan atau pinggir kawasan perumahan. Ular laut pula hampir semuanya mempunyai bisa dan boleh dianggap berbahaya.

Oleh itu, kes patukan ular sering terjadi kepada mereka yang tinggal atau bekerja dekat dengan kawasan berkenaan dan ketika melakukan aktiviti perkhemahan, berkelah dan riadah di tempat sama.

Kecederaan akibat patukan ular bergantung kepada jenis dan saiz ular, jumlah racun, bilangan patukan, tempat patukan dan saiz mangsa kerana kesan patukan menjadi teruk jika dipatuk di kepala, leher dan badan.

Selepas mangsa dipatuk, racun ular akan bertindak sama ada ke saluran darah (Haemotoxins), saluran saraf (Neurotoxins) atau ke saluran jantung (Cardiotoxins).

Sesetengah gejala patukan akan dirasai mangsa dalam masa singkat selepas dipatuk berbanding sesetengah gejala patukan lain.

Antara gejala awal mangsa akan rasa sakit di tempat terkena patukan, bengkak dan perubahan warna kulit pada tempat patukan. Patukan ular laut biasanya tidak mendatangkan reaksi mahupun rasa sakit.

Gejala am yang mungkin timbul pada peringkat awal antara 10 hingga 15 minit selepas dipatuk ialah rasa cemas, lemah, muntah, sakit kepala, pening, berpeluh, sesak nafas, perasaan keliru, kekejangan dan kemudian mangsa mungkin lumpuh dan seterusnya mati.

Bagi gejala yang lewat menunjukkan tanda seperti bengkak, bisul, pendarahan dalam kulit dan otot, kurang aliran darah ke anggota serta kulit pada tempat patukan.

Mangsa patukan ular juga akan mengalami pening, muntah, sesak nafas, demam, kejutan, gusi berdarah, darah dalam najis, air kencing atau muntah dan lumpuh.

Mangsa turut mengalami gangguan deria sentuhan, rasa dan bau, rasa mengantuk, rasa lumpuh pada otot muka dan mata, susah menelan dan pendarahan dalam otak.

Walaupun kebanyakan orang yang dipatuk ular beracun akan sembuh, patukan ular boleh menjadi serius dan membawa maut jika tidak dirawat dengan cepat.

Kesan atau komplikasi yang boleh terjadi seperti parut dan kesan kosmetik, luka, jangkitan kulit dan jangkitan tulang di tempat yang dipatuk, penyakit kancing gigi, kerosakan buah pinggang, kerosakan otak akibat perdarahan dalam otak, luka atau parut kekal dalam mata jika ular menyembur racun ke mata.

Jangan panik jika terkena patukan ular, sebaliknya cuba ingat rupa ular itu kerana ia mampu membantu doktor memilih anti venom yang sesuai. Mangsa juga diingatkan supaya jangan potong atau hisap tempat dipatuk.

Elak bergerak jika tiada keperluan bagi mengurangkan racun merebak ke bahagian badan lain. Basuh tempat yang dipatuk dengan segera dan elak memasuki mata jika racun ular disembur ke mata.

Balut tempat yang dipatuk dengan baik tetapi jangan terlalu ketat supaya aliran darah tidak terganggu. Jika tempat dipatuk ialah tangan atau kaki, buat balutan tambahan bagi keseluruhan tangan atau kaki, mulai dari jari tangan atau jari kaki.

Elakkan anggota yang dipatuk daripada bergerak dengan menggunakan anduh. Mangsa juga dinasihatkan tidak bergerak sehingga pertolongan tiba dan segera bawa mangsa ke hospital berdekatan.

Setibanya di hospital, mangsa akan diletak di bawah perhatian rapi seperti merawat luka dan anggota lain yang sakit akibat patukan.

Pasukan perubatan juga akan memberi rawatan sokongan termasuk melegakan kesakitan, rawatan jangkitan, pemindahan faktor pembekuan darah, bantuan pernafasan dan sebagainya mengikut keperluan.

Doktor juga akan memberi ubat khas penawar bisa atau anti venom yang spesifik bergantung kepada tahap serius patukan. Jika perlu, suntikan imunisasi atau imunisasi tambahan untuk penyakit tetanus mungkin diberi.

Bagi mengelak dipatuk ular, orang ramai disyorkan memakai kasut yang menutup kaki atau seluar panjang ketika berjalan di kawasan semak.

Ketika berjalan, hentak kaki atau lakukan gegaran dengan kaki dan jangan masukkan tangan ke dalam lubang, rekahan batu atau tanah.

Jauhi ular yang mati kerana ramai orang dipatuk dua atau tiga kali oleh ular yang disangka sudah mati dan elak pergi ke kawasan yang diketahui menjadi habitat ular ketika gelap..

0 comments:

Post a Comment