Blogger news

[x]

Monday 11 August 2014

On 22:14 by Unknown in    No comments

KUALA LUMPUR, 4 APRIL 2013: Tudung berjenama Fareeda berona biru yang diilhamkan sendiri oleh penyanyi tersohor Negara, Dato' Siti Nurhaliza Taruddin telah berjaya dilelong sehingga bidaan tertinggi RM2,800.

Tudung yang telah dilelong dalam satu majlis amal, Malam Amal Tahajjud Cinta di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, malam semalam itu bertujuan untuk mengumpul dana untuk dua pertubuhan kebajikan iaitu Yayasan AIDS Malaysia dan Yayasan Ihtimam Malaysia.

Selain tudung tersebut iaitu tudung yang dipakai Siti Nurhaliza ketika membuat persembahan di malam amal itu, sehelai tudung lagi gabungan rona merah dan hitam turut dilelong dengan bidaan RM1,100 serta sebuah potret lukisan wajah Siti Nurhaliza memakai tudung yang dilelong karya pelukis tersohor Abdul Rahman Sulaiman berjaya dibida sehingga RM2,600.

Siti Nurhaliza berkata, dia bersyukur kerana 2 helai tudung yang diilhamkan olehnya itu berjaya dilelong dengan harga yang agak tinggi untuk disumbangkan kepada dana yang akan disalurkan itu.

"Alhamdulilah, nampaknya tudung rekaan saya ini berjaya dilelong. Kebetulan salah satu daripada harga bidaannya iaitu RM1100 ada juga lekat nombor kegemaran saya iaitu 11 bersamaan dengan tarikh lahir saya.

"Tudung yang saya ilhamkan ini agak berbeza daripada tudung biasa. Jadi kepada pembidanya nanti saya perlu mengajar cara memakainya," katanya ketika majlis amal tersebut.

Siti pada majlis amal tersebut, telah mempersembahkan enam buah lagu termasuk Tahajjud Cinta, Nirmala, InsyaAllah (Maher Zain) , Padamu Ku Bersujud ( Afghan) dan Ketika Cinta Bertasbih.

Selain Siti Nurhaliza, artis yang turut hadir Selebriti Sokongan Riben Merah Majlis AIDS Malaysia seperti Bob Yusof, Fahrin Ahmad, Lisdawati, Wan Sharmila, Soo Winci dan ramai lagi.

0 comments:

Post a Comment