Blogger news

[x]

Tuesday, 19 August 2014

On 10:04 by Unknown in ,    No comments

Che Ahmad menunjukkan al-Quran yang dipercayai dikencing oleh suspek di rumahnya di Renek.

BESUT - Seorang pencuri dikatakan bertindak biadab apabila bukan sahaja melarikan barang berharga di rumah mangsanya tetapi dipercayai turut kencing pada senaskhah al-Quran di dalam rumah mangsa dalam kejadian di Kampung Renek, dekat Jabi, kelmarin. 

Mangsa, Che Ahmad Che Will, 52, berkata, dia menyedari rumahnya dipecah masuk apabila pulang dari Kuala Lumpur bersama isteri dan seorang anaknya kira-kira jam 7 petang kelmarin. 

Menurutnya, dia sekeluarga meninggalkan rumah pada Jumaat lalu dan terkejut sebaik tiba petang kelmarin apabila mendapati keadaan dalam rumah berselerak dan pintu bilik bahagian dapur terbuka luas. 

“Setelah pemeriksaan dibuat saya dapati seunit televisyen bersaiz 31 inci dan satu tabung duit milik anak saya yang mengandungi wang kira-kira RM100 telah hilang. 

“Saya syak pencuri pecah masuk ke dalam rumah ketika tiada di rumah dan saya kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih mengenai kehilangan dua barang tersebut,” katanya. 

Che Ahmad berkata lagi, selepas pulang membuat laporan polis, dia sekeluarga terhidu bau hancing air kencing yang semakin kuat baunya pada sebelah malam. 

Menurutnya, selepas diperiksa arah dan tempat bau hancing tersebut, dia dapati bau itu datang dari satu rak menempatkan buku termasuk senaskhah al-Quran yang terdapat di dalam bilik anak perempuannya. 

“Kami percaya salah seorang daripada suspek telah membuang air kecil di rak buku tersebut menyebabkan ia terkena pada al-Quran berdasarkan terdapat kesan air kencing di situ. 

“Bagaimanapun saya tidak pasti sama ada suspek sengaja kencing pada al-Quran itu atau sebalik,” katanya. -sinarharian



0 comments:

Post a Comment