Blogger news

[x]

Saturday, 6 September 2014

On 23:35 by Unknown in    No comments
Seram Pontianak Tumpang Kereta Di Bukit Fraser | Fuh. Dah lama rasanya Dr Fuh tak kongsi artikel seram ni. Tiba-tiba tergerak pulak nak kongsi lepas baca cerita seram di laman halaqah.net. Cerita seram ini berlaku di Bukit Fraser Pahang dimana ianya adalah penceritaan semula. Dr Fuh pon tak pasti la kisah ni benar-benar berlaku atau cuma kisah dongeng semata-mata. Jom kita baca.
CERITA SERAM BUKIT FRASER
MENGHABISKAN cuti hujung minggu di Bukit Fraser, Raub, Pahang sudah jadi amalan Ghazli dan Fazlin (buka nama sebenar) serta tiga anak mereka sejak setahun lalu.
Kerjaya Ghazli sebagai pemuzik dan isterinya, penulis sesuai dengan suasana semula jadi yang ditawarkan kawasan pelancongan berbukit di Banjaran Titiwangsa ini.
Selain suasana alam semula jadi yang masih tidak dicemari pemodenan yang rencam, Fazlin cukup mengagumi suasana perkampungan seolah-olah di pedalaman negara Scotland yang dipenuhi dengan bangunan granit kelabu dengan gaya Tudor.
Banyak kali juga suami isteri ini mendengar cerita seram, pelik dan misteri yang dialami pelancong yang bertandang, maklumlah kebanyakan banglo serta hotel yang ada sedia wujud seawal era kolonial lagi, namun itu semua tidak pernah menjadi penghalang.
Bukit Fraser menyimpan pelbagai sejarah perjuangan orang Melayu sewaktu menentang penjajah Inggeris sejak 1917 hingga ambang kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Antara kisah misteri yang pernah menyelubungi Bukit Fraser, termasuk pencarian seorang paderi Kristian dari Singapura pada 1917, Bishop C.J. Ferguson yang berjaya menemui ‘Bukit Fraser’ selepas berhari-hari mencari rakannya, seorang pelombong bijih timah, Louis James Freser yang dilaporkan hilang di dalam hutan itu.
Kerajaan Inggeris percaya Freser mati dimakan binatang buas atau dibunuh Orang Asli dan tubuhnya menjadi makanan mereka. Begitupun versi yang boleh diyakini menyatakan Freser dibunuh pejuang Melayu yang menentang Inggeris.
Memang sudah tertulis, setiap apa yang berlaku ada sebab tersendiri. Terpulang kepada manusia dan insan di bumi Allah SWT untuk mengambil iktibar.
Kali ini Ghazli dan Fazlin silap perkiraan dan lewat memulakan perjalanan iaitu hampir Maghrib. Biasanya mereka akan mengelak mendaki Bukit Fraser dalam suasana gelap kerana jalan yang sempit dan sukar ketika berselisih kereta, banyak selekoh berbahaya dan curam. Jika sesuatu berlaku sukar juga hendak mendapatkan bantuan.
Nekad meneruskan perjalanan, kira-kira setengah jam memandu, sebaik melepasi kawasan tadahan Empangan Kuala Kubu Bharu, mereka berasa seperti sesuatu yang tidak kena dengan kereta yang dipandu.

Anak kedua mereka, Nayli, 6, sejak tadi resah dan takut. Fazlin memujuk sambil menyuruhnya cuba tidur seperti abang dan adiknya.
Fazlin sendiri tambah gusar kerana baru hari pertama datang bulan, suami pula senyap dan langsung tidak bercerita, malah cukup serius memandu. Sebelum ini, tidak pernah pula dia begitu. Enjin kereta terdengar mengeram kuat tetapi kelajuan hanya 60 kilometer sejam (km/j). Berpeluh Ghazli menekan pedal minyak tetapi kelajuan tetap sama. Pelik, padahal kereta baru dihantar servis. Bukit Fraser pun belum dipanjat lagi.
Bulu romanya tegak berdiri, dalam hati kalimah dan ayat suci serta Ayatul Kursi menemani mereka sepanjang perjalanan.
Jangka waktu 20 minit sebelum sampai ke Gap dirasakan terlalu lama. Perasaan sesal dan bimbang bercampur baur. Apa pula musibah yang bakal menimpa mereka sekeluarga.
Sebaik melepasi selekoh lokasi tragedi Sir Henry Gurney dibunuh, kenderaan tiba-tiba meluncur laju. Tiada lagi bunyi enjin mengeram, ringan dan lancar. Ghazli dan Fazlin masih membisu sehinggalah mereka tiba di menara jam di tengah pekan Bukit Fraser.
“Nampak tak apa yang saya nampak?” kata Ghazli dengan wajah serius. Fazlin dengan wajah pucat dan suspen sekadar menggelengkan kepala.
“Benda tu terbang dan melintas betul-betul depan kereta kita dan terus lenyap ke dalam hutan dekat selekoh tadi…” kata Ghazli lagi sambil meraut muka dengan tangan. Rupa-rupanya kereta mereka ditumpang makhluk yang dikenali sebagai pontianak.
“Patutlah abang diam semacam saja, rupanya makhluk itu cuba mengusik kita sekeluarga. Barulah saya faham kenapa orang tua kita tidak galakkan keluar rumah waktu Maghrib, inilah mungkin sebabnya.”
Selepas kejadian itu, Ghazli dan Fazlin serik dan akan memastikan mereka akan naik ke Bukit Fraser hanya pada waktu siang.
Wallahualam
Dr Fuh – Betul lah kata orang-orang tua. Waktu Magrib jangan berkeliaran lagi luar rumah. Kat sini Dr Fuh ada nak kongsi hadis sikit berkaitan bahaya waktu Magrib.
Dari Jabir r.a katanya:
“Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja.”(Riwayat Muslim)
Diriwayatkan dari Jabir RA. : Nabi Muhammad SAW pernah bersabda,
“ketika malam turun, dekatkanlah anak-anak kalian kepadamu, karena waktu itu setan bertebaran. Sejam kemudian, kalian dapat melepaskan mereka; dan tutuplah pintu-pintu rumahmu dan sebutlah nama Allah, padamkanlah lampumu dan sebutlah nama Allah, tutuplah minumanmu dan sebutlah nama Allah, tutuplah juga bejanamu dan sebutlah nama Allah, sekalipun hanya dengan meletakkan sesuatu di atasnya”. [Riwayat Bukhari]
Wallahualam..

0 comments:

Post a Comment