Blogger news

[x]

Wednesday, 10 September 2014

On 20:42 by Unknown in    No comments

KECOH seketika dunia hiburan tempatan apabila suami kepada pelakon cantik Ayu Raudhah, mula menghalang aktres itu berlakon.

Ia berikutan babak antara Ayu Raudhah dan Iqram Dinzly dalam filem terbaru mereka Lagenda Budak Setan 3: Kasyah yang kini sedang ditayangkan di pawagam.

Mengulas mengenai perkara itu, Ayu memberitahu, dia agak terkejut dengan respons peminat berkenaan perkara itu.

"Sebenarnya tiada apa-apa pun, Zaquan sendiri tidak menujukan kata-kata tersebut kepada sesiapa pun.

"Cuma apabila melihat saya diperlakukan sedemikian di dalam lakonan, dia tidak dapat menerimanya, itu sahaja," jelasnya.

Bagaimanapun, Ayu mengakui suaminya ada meminta agar dia lebih berhati-hati menerima sebarang tawaran lakonan selepas ini.

"Kalau adegan biasa dia tidak kisah, tetapi kalau sehingga menyebabkan lebam dan luka, dia kata tidak perlu menerimanya.

"Katanya, untuk kebaikan saya sendiri juga. Lagipun kalau saya tidak selesa dengan lakonan tersebut dan menimbulkan perbalahan dengan suami juga tidak baik," ujarnya.

Bagi pelakon Gemersik Kalbu ini, dia bagaimanapun tidak mahu isu tersebut menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakan seperjuangannya. Sementelah Iqram telah meminta maaf sejak menjalani penggambaran itu lagi. 

"Biasalah berlakon memang kena buat betul-betul, saya sendiri masih trauma dengan aksi pukul-memukul ini.

"Iyalah, beberapa kali babak tersebut dirakamkan semula kerana kurang berhasil, tetapi saya tetap berpuas hati kerana kesannya sungguh mengagumkan," katanya.

Selain itu, Ayu turut mendedahkan babak itu membuatkan anak sulungnya menangis menyaksikan ibunya diperlakukan sedemikian.

Memang dia trauma - Iqram Dinzly

Sementara itu, pelakon Iqram Dinzly, berharap perkara itu tidak berpanjangan lagi. Jelas Iqram, sebagai suami, Zaquan mempunyai hak berasa kurang senang melihat babak Ayu dipukul.

“Saya harap dia faham ia sekadar lakonan semata-mata dan saya memohon maaf sekiranya dia terasa hati dan marah apabila melihat adegan tersebut,” katanya.

Tambah pelakon berusia 33 tahun ini, dia faham mengapa pemain bola sepak itu memuat naik status yang meluahkan perasaannya di laman sosial Twitter miliknya berkenaan perkara itu. Malah turut membalas komen Zaquan dengan menyatakan ia hanyalah lakonan semata-mata.

“Ketika berlakon babak akhir, saya benar-benar menjiwai watak manakala Ayu pula masih trauma dan menangis. Tetapi selepas babak itu selesai, saya segera meminta maaf kepadanya,” katanya.

Menerusi filem arahan Sharad Sharan itu, Iqram memainkan peranan sebagai Shan yang terlalu menyayangi isterinya, Zahirah (Ayu).

Shan sering memukul isterinya apabila melihat mana-mana lelaki mendekatinya.

0 comments:

Post a Comment